Masters Malaysia: Aaron-Khai Xing, Naib Juara Terbuka Thailand Berentap Di Pusingan 32

May 20, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara yang menjuarai Kejohanan Remaja Dunia BWF 2024, Aaron Tai dan Kang Khai Xing akan membuat perhitungan dengan gandingan Denmark, William Boe dan Christian Kjær, yang baru sahaja meraih gelaran naib juara Terbuka Thailand 2025.

Kedua-duanya akan bertembung di pusingan 32 yang dijdualkan pada Rabu selepas berhasil menumpaskan lawan masing-masing di peringkat kelayakan, pada hari ini.

Aaron-Khai Xing yang menduduki ranking 58 dunia mara berikutan berhasil mengalahkan beregu senegara, Bryan Jeremy Goonting dan Muhammad Fazriq Mohamad Razif, ranking 67 dunia, dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-17 dalam masa 34 minit.

Sementara itu, Boe-Kjær yang terlepas gelaran juara Terbuka Thailand pada Ahad lalu berikutan tewas kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik melangkah ke babak undian utama dengan mengalahkan sepasang lagi beregu Malaysia, Chia Wei Jie dan Lwi Sheng Hao.

Beregu negara yang berada di ranking 72 dunia itu ternyata bukan saingan setaraf dengan Boe-Kjær dimana mereka berhasil melakar kemenangan mudah secara “ straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-16 dalam masa tidak sampai 30 minit.

Sebagai rekod, Aaron-Khai Xing belum pernah bertembung dengan Boe-Kjær dalam mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd