Masters Malaysia: Hon Jian-Haikal Singkir Pilihan Kelapan Kejohanan

May 20, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki No.8 negara, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal memulakan kempen Masters Malaysia 2025 dengan langkah kanan menyingkirkan pilihan kelapan kejohanan iaitu Kittinupong Kedren dan Dechapol Puavaranukroh.

Hon Jian-Haikal melakar permulaan positif berkenaan dengan mencetak kemenangan ke atas gandingan dari Thailand itu secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-18 dalam masa 40 minit. 

Kemenangan itu sekaligus menghantar mereka ke peringkat pusingan 16 bagi Jelajah Dunia BWF Super 500 ini bertemu samada beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi atau beregu China, Huang Di dan Liu Yang.

Sebagai rekod, ini merupakan kemaraan sulung Hon Jian-Haikal yang menduduki ranking 41 dunia ke pusingan 16 dalam kejohanan yang disertainya pada tahun ini – selepas terkandas di pusingan 32 di Terbuka Taipei dan Terbuka Thailand baru-baru ini.

Sementara itu, turut sama melaka kemenangan adalah gandingan Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong dengan menumpaskan Chiang Chien-Wei dan Wu Hsuan-Yi dari Chinese Taipei secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-16.

Hang Yee-Eng Cheong, ranking 39 dunia, akan menantikan cabaran di pusingan 16 samada daripada beregu No.1 dunia, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen atau beregu China, Xie Hao Nan dan Zeng Wei Han. 

Bagaimanapun, lain pula skrip menimpa Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong dimana mereka terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Masters Malaysia 2025 berikutan tewas 19-21 dan 15-21 di tangan Liu Kuang Heng dan Yang Po Han dari Chinese Taipei.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd