CelcomDigi Muncul Sebagai Penaja Utama STL 2025

May 20, 2025
Sepak Takraw

Hafiz Omar

Edisi kesebelas saingan sepak takraw tanah air kini diserikan dengan kehadiran syarikat telekomunikasi terkemuka iaitu CelcomDigi selaku penaja utama menggantikan Kedai Emas Anuar sekaligus menyaksikan ianya dinamakan sebagai CelcomDigi STL 2025.

Format pertandingan musim ini kekal seperti edisi pada tahun lalu namun penganjur memaklumkan penambahan satu lagi siri Grand Prix di Negeri Sembilan menyaksikan sebanyak enam siri Grand Prix akan berlangsung pada edisi tahun ini.

Sedikit perubahan dilakukan oleh penganjur dimana sistem kelayakan baharu ditampilkan. Ianya membahagikan pasukan kepada Kelas Satu dan Kelas Dua selepas peringkat kumpulan. Hanya Kelas Satu sahaja layak merebut kejuaraan sementara Kelas Dua akan bersaing untuk tempat kelima hingga kelapan.

STL 2025 akan membuka tirainya dengan STL Divisyen 1 yang berlangsung di gelanggang baharu bagi musim ini, Stadium SUKPA, Pahang – dari 28hb Mei hingga 1hb Jun. 

Ianya disusuli dengan STL Premier bermula dengan Grand Prix 1 di Stadium Tertutup Gong Badak, Terengganu (17hb – 21hb Jun); Grand Prix 2 di Arena 9, Negeri Sembilan (25hb – 29hb Jun); Grand Prix 3 di Iskandar Malaysia Studios, Johor (9hb – 13hb Julai); Grand Prix 4 di Stadium Titiwangsa, KL (30hb Julai – 3hb Ogos); Grand Prix 5 di Stadium Indera Mulia, Perak (13hb – 17hb Ogos) dan akhir sekali Grand Prix 6 di Spice Arena, Pulau Pinang (20hb – 24hb Ogos).

Selepas berakhirnya STL Divisyen 1 dan STL Premier, tirai saingan sepak takraw tanah air ini akan ditutup dengan STL Champions Cup – menghimpunkan empat pasukan terbaik negara bersama-sama empat pasukan jemputan dari luar negara. 

Saingan ini dijadualkan berlangsung dari 27hb hingga 31hb Ogos bertempat di Iskandar Malaysia Studios, Johor.

Pada musim lalu, Kuala Lumpur Thunder menamatkan kempen dengan penuh bergaya apabila berjaya merampas kejuaraan daripada Perak Bison untuk muncul juara STL Premier. Sementara itu, Negeri Sembilan Antlers pula mengekalkan reputasi cemerlang mereka selaku juara bertahan STL Champions Cup.

Sebagai tambahan, selain CelcomDigi, STL 2025 turut disokong dengan beberapa penaja lain seperi Vida (Airi Minuman Rasmi), Gajahmas (Penaja Peralatan Rasmi), FBT-UFL (Pakaian Rasmi Penganjur), Pos Malaysia (Rakan Strategik Logistik Rasmi), TicketHotline (Rakan Rasmi Tiket) dan First Pride (Rakan Kongsi Snek).

Sementara itu, tiga rangkaian radio iaitu Sinar FM, Gegar FM dan Zayan FM kekal sebagai Radio Rasmi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd