Masters Malaysia: Pearly-Thinaah Langkah Kanan
Hafiz Omar

Beregu wanita negara yang menjulang kejuaraan Terbuka Thailand 2025 pada minggu lalu nampaknya tiada masalah untuk meneruskan rentak kemenangannya dalam saingan Masters Malaysia 2025.
Turun berhadapan beregu Hong Kong yang menduduki ranking 56 dunia, Fan Ka Yan dan Yau Mau Ying, pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan cemerlang mengatasi mereka secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-16 dalam masa 37 minit.
Untuk makluman semua, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan Pearly-Thinaah dan Ka Yan-Mau Ying, ranking 56 dunia, di pentas antarabangsa setakat ini.
Susulan kemenangan ini, Pearly-Thinaah dapat meneruskan kemaraannya dalam Jelajah Dunia BWF Super 500 ini ke peringkat pusingan 16.
Menantinya di situ adalah beregu Thailand yang menduduki ranking 85 dunia, Pichamon Phatcharaphisutan dan Nannapas Sukklad – pertemuan sulung – untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.
Sebagai rekod, perjalanan Pearly-Thinaah dalam saingan Masters Malaysia pada tahun lalu terhenti di peringkat separuh akhir berikutan tumpas di tangan beregu Korea, Lee Yu Lim dan Shin Seung Chan.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia