Masters Malaysia: Pemenang Emas Olimpik Tumbang Di Tangan Aaron-Wooi Yik
Hafiz Omar

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali berturut-turut, Wang Chi Lin yang kini bergandingan bersama Chiu Hsiang Chieh terpaksa akur terkandas seawal pusingan 32 dalam saingan Masters Malaysia 2025.
Ianya susulan beregu yang menduduki ranking 17 dunia berkenaan gagal mengatasi cabaran daripada beregu negara merangkap pilihan keempat kejohanan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Masih segar dengan kejayaan muncul juara Terbuka Thailand 2025 pada minggu lalu selain kembali ke ranking ketiga dunia pada saat ini, Aaron-Wooi Yik berhasil menumpaskan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-16.
Kemenangan dalam masa 39 minit itu dicetak Aaron-Wooi Yik dalam pertemuan ketiga mereka dengan Chi Lin-Chiu Hsiang. Ini menjadikan Aaron-Wooi Yik kini mendahului rekod pertemuan dengan dua kemenangan berbanding Chi Lin-Chiu Hsian sekadar satu.
Berikutan kemenangan ini, Aaron-Wooi Yik meraih kemaraan ke pusingan 16 dan menantinya di situ adalah sepasang lagi beregu Chinese Taipei, Liu Kuang Heng dan Yang Po Han yang menumpaskan Nur Mohd Azriyn dan Tan Wee Kiong pada Selasa.
Featured Image: Badminton Association of Thailand