Spurs Rangkul Kejuaraan Selepas 17 Tahun, Raih Tiket Ke UCL 2025-2026
Hafiz Omar

Jaringan tunggal oleh Brennan Johnson sudah memadai untuk membantu Tottenham Hotspur bergelar juara Liga Europa sekaligus menamatkan kemarau kejuaraan yang berpanjangan selama 17 tahun lamanya.
Penyerang berusia 23 kelahiran England itu menjaringkan gol tersebut sekitar penghujung babak pertama selepas mendapat bola hantaran daripada Pepe Matar Sarr dari luar kotak penalti.
Lawannya, Manchester United kendalian Ruben Amorim ternyata tiada jawapan balas terhadap jaringan itu dan kedudukan 1-0 itu kekal berpanjangan sehingga pengadil perlawanan, Felix Zwayer dari Jerman meniup wisel menamatkan permainan.
Kejayaan Spurs kendalian Ange Postecoglou merangkul kejuaraan itu disaksikan hampir 50,000 penonton di Stadium San Mames, Bilbao.
Sebagai rekod, kali terakhir Spurs menjulang trofi adalah pada tahun 2008 apabila menjuarai Piala Liga dengan menewaskan Chelsea dengan keputusan 2-1.
Susulan kejayaan ini, selaku juara Liga Europa, Spurs juga meraih tiket ke saingan Liga Juara-Juara UEFA bagi musim hadapan, musim 2025-2026.
Ini membolehkannya meraih pendapatan tambahan dengan beraksi di kejohanan itu bersama-sama kelab-kelab handalan eropah biarpun berada di tangga ke-17 dalam saingan Liga Premier (PL).

Featured Image: Tottenham Hotspur