Lesen Kebangsaan: Sri Pahang FC Lulus, Kedah Darul Aman FC Gagal

May 22, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Finalis Piala Malaysia 2024-2025 yang diuar-uarkan akan dibubarkan, Sri Pahang FC dimaklumkan telah diberikan Lesen Kebangsaan sekaligus dapat beraksi dalam saingan Liga Super 2025-2026.

Perkara tersebut dimaklumkan sendiri oleh pihak First Instance Body (FIB) pada hari ini menerusi satu kenyataan media yang diedarkan kepada pihak media.

Selain pasukan berpangkalan di pantai timur itu, tujuh lagi pasukan daripada saingan Liga Super pada musim lalu turut lulus dan diberikan Lesen Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC.

Manakala tiga buah pasukan, Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ dimana pasukan-pasukan ini perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi kriteria kewangan selewat-lewatnya pada 31hb Mei 2025.

“Kegagalan mematuhi ketetapan itu dalam tempoh masa yang ditetapkan boleh menyebabkan lesen kebangsaan Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC ditarik balik oleh FIB.” kata Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Menariknya, dua buah pasukan daripada saingan Amateur Football League (AFL) iaitu Melaka FC dan Imigresen FC yang merupakan juara dan naib juara Liga A1 Semi-Pro masing-masing berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan Luar Biasa bagi membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super.

Dalam kenyataan yang sama, Sheikh Mohd Nasir mengesahkan dua pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC dan Perak FC gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan oleh Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025 (MFL CLR).

Secara keseluruhannya, 11 pasukan Liga Super musim lalu dan dua pasukan daripada Liga A1 Semi-Pro telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Featured Image: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd