Ng Tze Yong Terpaksa Berehat Selama 2 Minggu

May 23, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang baru sahaja kembali beraksi di pentas antarabangsa sekitar April lalu terpaksa berehat semula sekurang-kurangnya selama dua minggu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan mengesahkannya selepas melakukan pemeriksaan kesihatan bahawa pemain berusia 25 tahun berkenaan mengalami kecederaan pada lutut dan direhatkan selama dua minggu untuk pemantauan lanjut.

Perkembangan ini sekaligus menyaksikan Tze Yong terlepas dua saingan terdekat yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu berikutnya – Terbuka Singapura (Super 750) dan Terbuka Indonesia (Super 1000).

“BAM mendoakan proses pemulihan Tze Yong berjalan lancar dan segera sembuh.” tulis kenyataan itu. 

Untuk makluman, kecederaan itu menimpanya ketika turun menentang pemain No.2 Hong Kong, Ng Ka Long Angus pada pusingan 32 di Masters Malaysia 2025, Rabu lalu. 

Dalam pertarungan tersebut, TZe Yong yang memenangi set pertama menerusi skor 22-20 terpaksa berhenti bermain pada set kedua ketika mendahului 4-3 berikutan rasa tidak selesa pada lutut kanannya.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd