Masters Malaysia: Wei Chong-Kai Wun Kejutkan Beregu No.2 Dunia

May 23, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu lelaki negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun mencipta kejutan besar pada suku akhir Masters Malasysia 2025 apabila menumpaskan pasangan nombor dunia merangkap rakan senegara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin.

Pertarungan yang berlangsung di Gelanggang 2 bertempat di Axiata Arena itu menyaksikan Wei Chong-Kai Wun yang berada di tangga kelapan dunia melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 19-21, 21-7 dan 21-16 dalam masa 45 minit.

Keputusan ini bukan sahaja menjadi satu kejutan memandangkan Sze Fei-Izzuddin diletakkan selaku pilihan kedua tetapi bertambah bermakna kerana ini julung kalinya Wei Chong-Kai Wun melakar kemenangan ke atas lawannya itu.

Sebelum ini, mereka pernah bertembung sebanyak dua kali di pentas antarabangsa, Terbuka China 2024 dan Terbuka Jerman 2022, namun kedua-duanya berakhir dengan kekalahan secara “straight set”.

Susulan kemenangan ini, Wei Chong-Kai Wun dapat menempah tiket kemaraan ke peringkat separub akhir dan menantinya adalah samada beregu China yang menduduki ranking keempat dunia, Liang Wei Keng dan Wang Chang atau beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd