Masters Malaysia: Pearly-Thinaah Meluncur Ke Separuh Akhir Bertemu Yi Fan-Shu Xian

May 23, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menjadi wakil kedua negara yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Masters Malaysia 2025.

Terdahulu, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun menjadi wakil negara yang pertama mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir hasil menundukkan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin.

Pasangan yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan itu mara selepas menundukkan gandingan Indonesia yang berada di ranking kesembilan dunia, Febriana Dwipuji Kusuma dan Amallia Cahaya Pratiwi pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Ianya dimenangi oleh Pearly-Thinaah dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-14 dalam masa 34 minit.

Dengan keputusan ini, Pearly-Thinaah mendahului Febriana-Amallia dalam rekod pertemuan dengan lima kemenangan daripada enam pertembungan di pentas antarabangsa – keempat berturut-turut sejak Terbuka Thailand 2022.

Pada peringkat separuh akhir, dijadualkan pada Sabtu, Pearly-Thinaah akan membuat perhitungan dengan beregu China yang menduduki ranking ke-15 dunia, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian.

Yi Fan yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik membentuk gandingan baharu bersama Shu Xian sejak November tahun lalu mara dengan menyingkirkan beregu Indonesia, Lanny Mayasari dan Siti Fadia Silva Ramadhanti.

Pertemuan itu dimenangi oleh Yi Fan-Shu Xian menerusi tiga set permainan berskor 21-15, 15-21 dan 21-14 dalam masa satu jam dan enam minit.

Berdasarkan rekod, Pearly-Thinaah pernah bertemu dengan Yi Fan-Shu Xian sebanyak dua kali dan ianya berakhir dengan masing-masing mencatatkan satu kemenangan masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd