Piala ASEAN Hyundai Nama Baharu Saingan Bola Sepak Terulung Asia Tenggara

May 26, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kejohanan bola sepak yang menghimpunkan negara-negara di asia tenggara berlangsung setiap dua tahun sekali kini mendapat nama baharu iaitu Piala ASEAN Hyundai.

Ini akan dapat disaksikan pada penganjuran Piala ASEAN yang seterusnya pada tahun 2026.

Perkembangan itu hadir susulan penganjur kejohanan, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan syarikat pengeluar kereta global dari Republik Korea iaitu Hyundai Motors sebagai penaja penamaannya yang baharu.

Penajaan dalam bola sepak  bukanlah sesuatu yang baharu buat Hyundai dan telah menjadi elemen teras dalam strategi pemasarannya bermula dari tahun 1999 dengan bekerjasama dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mengembangkannya sehingga menjadi penaja utama bagi saingan CONMEBOL Libertadores di Amerika Latin.

Menerusi kerjasama bersama bola sepak ASEAN, Hyundai mensasarkan pertumbuhan strategik Asia Tenggara – meningkatkan kehadirannya dalam pasaran utama rantau ini dan mengukuhkan hubungannya dengan komuniti bola sepak tegar ASEAN.

Sebagai rekod, Hyundai muncul sebagai syarikat keempat mendapat hak penamaan bagi Piala ASEAN atau dahulunya dikenali sebagai Piala AFF selepas jenama minuman keras, Suzuki dan Mitsubishi Electric.

Featured Image: ASEAN United FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd