Bekas Pengurus Manchester United Ganti Xabi Alonso Di Bayer Leverkusen
Hafiz Omar

Erik Ten Hag yang berpisah dengan Manchester United penghujung Oktober tahun lalu kini dilantik sebagai ketua jurulatih baharu bagi Bayer Leverkusen – naib juara Bundesliga 2024-2025.
Pelantikan Ten Hag, 55 tahun, kelahiran Belanda, selaku ketua jurulatih baharu bagi kelab berjulukan Die Werkself itu diumumkan menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang rasmi dan dikongsikan di pelbagai media sosial kelab, sebentar tadi.
Pihak kelab memaklumkan Ten Hag akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 1hb Jun kelak dan beliau telah menandatangani kontrak sehingga 30hb Jun 2027 – kontrak selama dua musim.
Walaupun lahir di Belanda atau spesifiknya, Haaksbergen, kancah bola sepak Jerman bukanlah sesuatu yang asing buatnya. Ten Hag yang merupakan pertahanan semasa zaman beliau bermain bola sepak pernah membimbing skuad simpanan Bayern Munich dari tahun 2013 hingga 2015.
Pengarah Urusan Bayer Leverkusen, Simon Rolfes menjelaskan dengan adanya Ten Hag, mereka telah membawa masuk jurulatih berpengalaman berserta kejayaan yang menakjubkan di atas padang.
Simon turut menyimpulkan pencapaian Ten Hag bersama AJax sebagai luar biasa dengan menjuarai enam gelaran serta mendominasi bola sepak Belanda dari tahun 2018 hingga 2022. Tambah Simon lagi, Ten Hag turut memperlihatkan kualitinya sebagai jurulatih dalam memastikan kejayaan buat Manchester United dalam situasi yang mencabar.
“Idea terhadap bola sepak kami seiring. Dengan cabaran teknikal dan dominasi dalam bola sepak, kami mahu meneruskan gaya Werkself dan mencapai sasaran tertinggi dalam Bundesliga, DFB Pokal dan Liga Juara-Juara,” katanya.
Sementara itu, Ten Hag sendiri melabelkan Leverkusen sebagai salah satu kelab terbaik di Jerman dan kalangan kelab hebat di eropah. Hadirnya beliau bersama Leverkusen adalah untuk menyambung cita-cita kelab yang ditonjolkan pada tahun-tahun yang sudah.
Untuk makluman, Ten Hag hadir bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh jurulatih muda, Xabi Alonso, 43 tahun, yang berhijrah ke kelab gergasi LaLiga iaitu Real Madrid dengan kontrak selama tiga musim.
Sepanjang lebih dua tahun bersama Leverkusen, Xabi membimbing kelab tersebut menjuarai saingan Bundesliga buat julung kalinya dalam sejarah, merangkul kejuaraan DFB Pokal, menjulang trofi DFL-Supercup dan mrekodkan 51 perlawanan tanpa kalah.
Featured Image: Bayer Leverkusen