Ranking BWF: Sze Fei-Izzuddin Rampas Kedudukan No.1 Dunia
Hafiz Omar

Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang bergerak secara bersendirian (independent) kini bergelar beregu lelaki No.1 dunia – julung kalinya dicapai oleh kedua-dua pemain dalam karier badminton masing-masing.
Kemaskini oleh Ranking Dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan Sze Fei-Izzuddin merampas kedudukan berkenaan daripada gandingan Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen – menghuni tangga tertinggi dunia bagi sektor beregu lelaki selama 24 minggu.
Biarpun Sze Fei-Izzuddin terkandas pada suku akhir di Masters Malaysia pada minggu lalu, kenaikan terhasil susulan Astrup-Rasmussen, 33 dan 36 tahun masing-masing, gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada tahun lalu susulan tewas di tangan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik pada separuh akhir.
Situasi itu menyebabkan pungutan mata Astrup-Rasmussen menyusut kepada 90,411 mata daripada 93,191 mata yang dimilikinya pada minggu lalu dan terpaksa kembali ke kedudukan No.2 dunia.
Sementara itu, pungutan mata Sze Fei-Izzuddin turut menyusut kepada 91,090 mata berbanding 91,909 mata yang dikumpulnya pada minggu ke-21 namun ianya mengatasi pungutan mata dimiliki oleh Astrup-Rasmussen.
Sebagai rekod, gandingan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menjadi beregu lelaki negara yang terakhir menghuni tangga No.1 dalam Ranking Dunia. Pasangan yang meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 itu berada di kedudukan berkenaan selama 18 minggu berturut-turut dari November 2016 hingga Mac 2017.
Sementara itu, juara Masters Malaysia 2025, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula merekodkan peningkatan satu anak tangga sekaligus menduduki ranking ketujuh dalam Ranking Dunia dengan pungutan 72,393 mata.
Manakala naib juara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kekal di tangga ketiga dunia namun semakin mengukuhkan kedudukannya dengan mengumpul 84,920 mata – meningkat 1,750 mata pada berbanding minggu lalu.