Bek Kiri Kelahiran Kelantan Tarik Minat Kelab Brunei
Hafiz Omar

Azwan Aripin kelahiran Kelantan berkemungkinan besar akan meneruskan kariernya bersama kelab luar negara yang akan beraksi dalam kancah bola sepak tempatan pada musim hadapan.
Perkembangan itu hadir susulan DPMM FC berminat untuk mendapatkan khidmat pertahanan kiri berusia 29 tahun berkenaan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2025–2026.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh kelab dari Brunei berkenaan menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di laman sesawang rasminya, pada Isnin.
DPMM FC berminat membawa masuk Azwan bagi mengisi posisi pertahanan kirinya memandangkan bek kiri sedia adanya, Najib Tarif sudah berusia 37 tahun selain bakal melepaskan bek sayap kirinya, Muiz Sisa.
Berdasarkan catatan Transfermarkt, Azwan atau turut dikenali sebagai Awe telah merekodkan 77 penampilan bersama skuad berjulukan Tok Gajah sejak menyertainya pada tahun 2022.

Ini termasuk membantu Sri Pahang FC kendalian Fandi Ahmad melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 – kemaraan pertama ke pentas akhir bagi kejohanan berkenaan selepas 11 tahun.
Sebelum itu, Azwan bersama kelab yang berpangkalan di negeri kelahirannya, Kelantan FC. Ketika bersama skuad pembangunan di kelab berkenaan, Azwan berjaya mengetuai pasukan untuk menjuarai saingan Piala Belia 2014 dan Piala Presiden 2016.
Sekiranya perpindahan ini direalisasikan, Azwan bakal menjadi pemain kedua Malaysia yang akan menyertai DPMM FC bagi beraksi dalam kancah bola sepak tanah air.
Terdahulu, DPMM FC telah mengesahkan mengikat khidmat pertahanan yang berusia 28 tahun daripada Penang FC iaitu Fairuz Zakaria.
Untuk makluman, pemain-pemain Malaysia yang menyertai DPMM FC akan dikira sebagai pemain tempatan dan bukannya pemain asing atau import.
Featured Image: Sri Pahang FC