Terbuka Singapura: Hon Jian-Haikal Tewas Di Tangan Satwiksairaj-Shetty

May 28, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Gandingan Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Terbuka Singapura 2025 seawal pusingan 32 selepas bertemu Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty, sebentar tadi.

Dalam pertemuan tersebut, Hon Jian-Haikal mengalami kekalahan di tangan beregu India yang pernah menduduki ranking pertama dunia itu secara “straight set” menerusi skor 16-21 dan 13-21 dalam masa 37 minit.

Keputusan itu sekaligus mengekang Hon Jian-Haikal yang kini berada di ranking 41 dunia melangkah ke pusingan 16 dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 750 buat kali kedua sejak bergandingan dari Ogos 2023.

Susulan penyingkiran ini, Hon Jian-Haikal sekadar membawa pulang wang tunai sebanyak AS$1,000 atau bersamaan sekitar RM4,248 serta memungut 2,660 mata.

Hon Jian-Haikal menjadi beregu lelaki negara yang kedua tersingkir selepas Nur Mohd Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong tewas di tangan Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto menerusi skor 18-21 dan 16-21 pada Selasa. 

Sementara itu, Satwiksairaj-Shetty yang melakar kemenangan akan menantikan cabaran daripada samada Hiroki Midorikawa dan Kyohei Yamashita (Jepun) atau Sabar Karyaman Gutama dan Moh Reza Pahlevi Isfahani (Indonesia) pada pusingan 16 kelak.     

Featured Image: Badminton Assocation of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd