Pemain Selangor FC Kongsi ‘Rahsia’ Malaysia – Ketua Jurulatih Cape Verde
Hafiz Omar

Skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya serta kancah bola sepak tanah air tampak asing buat anggota skuad bola sepak kebangsa Cape Verde – pasukan yang menghuni tangga 72 dunia. Manakan tidaknya, Malaysia dan Cape Verde belum pernah berentap dalam mana-mana perlawanan antarabangsa setakat ini.
Namun begitu, sedikit sebanyak maklumat mengenai Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara amnya diketahui oleh Cape Verde menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung pada Khamis di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Maklumat itu dikongsikan sendiri oleh pemain sayap lincah yang meledak 17 gol bersama Selangor FC sepanjang musim 2024-2025, Alvin Fortes – yang turut dipanggil oleh ketua jurulatih Cape Verde, Pedro Brito bagi menghadapi Harimau Malaya.
“Kami mempunyai pemain serata dunia, satu kegembiraan buat kami mempunyai pemain Cape Verde beraksi di Malaysia, sudah tentu (dia) memberikan maklumat tentang bola sepak Malaysia dan skuad kebangsaan Malaysia,” kata jurulatih berusia 55 tahun itu dalam sidang media praperlawanan, pada hari ini.

Bagaimanapun, jurulatih yang turut dikenali dengan nama panggilan Boa Vista itu tidak berkongsikan dengan terperinci mengenai maklumat atau ‘rahsia’ yang diberitahu oleh Fortes.
“Tetapi bagi kami, (perkara) lebih penting adalah apa yang kami lakukan dan persiapkan untuk perlawanan pada hari esok dan perlawanan seterusnya kerana ini merupakan perlawanan ujian (sebelum menghadapi kelayakan Piala Dunia),” tambahnya.
Pada masa yang sama, Brito tidak memandang rendah terhadap serta menganggap Malaysia sebagai lawan yang mudah biarpun berada di ranking yang jauh lebih rendah daripada Cape Verde.
“Tidak sama sekali (lawan yang mudah), ranking tidak penting, bagi kami adalah lebih penting untuk mendapat cabaran berbeza untuk menambah pengalaman,”
“Kami mempunyai pemain muda yang pertama kali dipanggil ke skuad kebangsaan, penting buat kami untuk menghadapi cabaran pada esok, kami merupakan sebuah negara kecil, penting buat kami mengutip pengalaman dan menentang pasukan yang berbeza,” ujarnya.
Cape Verde yang bertandang ke Kuala Lumpur akan menghadapi Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 29hb Mei (Khamis) dan 3hb Jun (Selasa). Kemudiannya, skuad dari benua afrika ini akan terbang ke eropah untuk berentap dengan Georgia pada 9hb Jun (Isnin).
Ini merupakan siri perlawanan ujian atau persiapan Cape Verde sebelum menyambung semula kempen kelayakan Piala Dunia FIFA 2026 pada September kelak.
Featured Image: Selangor FC