Chelsea Cipta Sejarah, Juarai 5 Trofi Utama Eropah
Hafiz Omar

Chelsea FC yang berpangkalan di London mencipta sejarah sebagai kelab bola sepak pertama yang menjuarai kesemua lima trofi utama di eropah anjuran Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).
Skuad berjulukan The Blues melengkapkan kejuaraan itu apabila anak–anak buah bimbingan Enzo Maresca berjaya menumpaskan Real Betis dalam perlawanan akhir Liga Konferens UEFA 2024-25, pada awal pagi (waktu Malaysia).
Empat trofi utama eropah sebelum ini dirangkul Chelsea apabila julung kalinya menjuarai Liga Juara-Juara (UCL) pada 2011-12, Liga Europa UEFA (UEL) pada 2012-13, Piala Super UEFA pada 1998 serta kejohanan yang telah dimansuhkan, Piala Pemenang Piala UEFA pada 1970-71.
Pertarungan yang berlangsung di Stadium Miejski itu menyaksikan Real Betis pimpinan Manuel Pellegrini terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Abde Ezzalzouli (9’) dan mendahului dengan satu jaringan selama lebih satu jam.
Namun begitu, Chelsea berhasil menyamakan kedudukan menerusi tandukan Enzo Fernandez (65’) seterusnya mendahului 2-1 selepas dadaan bola ke dalam gawang oleh Nicolas Jackson (70’).
Tidak terhenti dengan dua gol tersebut, Chelsea terus menambah jaringan menerusi Jadon Sancho (83’) sebelum rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Moises Caocedo (90+1’) melengkapkan kemenangan 4-1 Chelsea ke atas Real Betis.
Selain menjulang trofi Liga Konferens – kelab dari England kedua selepas West Ham United, selaku juara, Chelsea turut meraih slot automatik ke Peringkat Liga bagi saingan Liga Europa UEFA musim 2025-2026.
Namun begitu, Chelsea pastinya akan menumpukan usahanya untuk ke Liga Juara-Juara UEFA selepas mendapat slot ke peringkat kelayakan bagi saingan itu susulan menamatkan Liga Premier (PL) di tangga keempat musim ini.

Featured Image: Chelsea Football Club