Terbuka Singapura: Aaron-Woo Yik Akhiri 8 Kekalahan Berturut-Turut Di Tangan Hoki-Kobayashi

May 29, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Sejak Oktober 2021, gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sentiasa bernasib malang, mengalami kekalahan, apabila bertemu beregu lelaki dari negara matahari terbit, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi. 

Bermula daripada kekalahan di peringkat separuh akhir Piala Sudirman 2021, keputusan itu berjangkit ke saingan Piala Thomas 2020, Masters Indonesia 2021, Terbuka Malaysia 2022, Terbuka Jepun 2023, Jelajah Dunia Akhir BWF 2023, Piala Thomas 2024 dan Piala Sudirman 2025.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik yang kini di bawah bimbingan Herry Iman Pierngadi dari Indonesia berjaya mengakhiri deretan kekalahan itu dengan melakar kemenangan ketika berentap dengan Hoki-Kobayashi pada pusingan 16 di Terbuka Singapura 2025, hari ini.

Seperti ramai ketahui, Hoki-Kobayashi pada ketika ini bukanlah di puncak prestasi sepertimana ditonjolkan sekitar suku keempat tahun 2021. Akan tetapi, itu tidak bermakna Aaron-Wooi Yik dapat menumpaskan mereka dengan mudah dalam perlawanan yang berlangsung di Gelanggang 2, Stadium Tertutup Singapura, sebentar tadi. 

Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Thailand 2025 dan muncul naib juara Masters Malaysia 2025 terpaksa bermain tiga set permainan sebelum mencetak kemenangan menerusi skor 21-18, 24-26 dan 21-12 dalam masa 63 minit.

Susulan kemenangan penuh bermakna ini, Aaron-Wooi Yik yang turut diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan dapat meneruskan kempen di Jelajah Dunia BWF Super 750 ini ke peringkat suku akhir.

Menariknya, menantinya di peringkat tersebut adalah gandingan ‘adiknya’ iaitu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun – pasangan yang sama menumpaskan Aaron-Wooi Yik di perlawanan akhir Masters Malaysia 2025 pada Ahad lalu.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun menempah tiket suku akhir dengan mengatasi beregu China, Huang Di dan Liu Yang dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-16 dalam masa 34 minit.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd