Perlawanan Tier 1: Malaysia Ikat Pasukan Ranking 72 Dunia

May 29, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Malaysia bimbingan Peter Cklamovski berhasil mengikat Cape Verde yang berada di tangga 71 dunia dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Biarpun bolos seawal minit ke-9 hasil jaringan pertahanannya, Sidny Cabral, skuad negara berjulukan Harimau Malaya tidak mengalah awal dan memberikan saingan sengit untuk memburu jaringan penyamaan.

Hasil usaha itu, Malaysia berhasil menemui jaringan tersebut pada babak kedua menerusi pemain naturalisasi yang masuk sebagai pemain gantian, Paulo Josue (79’). 

Pemain berusia 36 tahun berkenaan menjelmakan gol tersebut setelah menerima hantaran pendek daripada Quentin Cheng dari dalam kotak penalti.

Selepas jaringan tersebut, pertarungan melibatkan kedua-dua pasukan kian sengit dengan Malaysia dan Cape Verde mencari jaringan kemenangan.

Bagaimanapun, kedudukan 1-1 itu kekal sehingga pengadil perlawanan, Mongkolchai Pechhri dari Thailand meniup wisel menamatkan permainan.

Selepas ini, Malaysia akan bertembung Cape Verde sekali lagi pada 3hb Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun ianya berlangsung secara tertutup.

Kedua-dua perlawanan ini berperanan sebagai aksi ujian sebelum Malaysia turun berhadapan dengan Vietnam dalam aksi kedua peringkat Kumpulan F, Kelayakan Piala Asia 2027 bertempat di SNBJ pada 10hb Jun.

Featured Image: Football Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd