Kejohanan ASEAN B-23: Malaysia, Indonesia Berentap Dalam Kumpulan A
Hafiz Omar

Sebelum terbang ke Thailand bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 pada awal September, skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) bimbingan Nafuzi Zain akan mengharungi Kejuaraan ASEAN B-23 Piala Mandiri 2025 di Indonesia terlebih dahulu.
Menerusi majlis undian yang berlangsung di Bali pada hari ini, Malaysia akan memulakan kempen Piala Mandiri itu dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah merangkap naib juara edisi lalu, Indonesia serta Filipina dan Brunei.
Sementara itu, juara berturut-turut dalam dua edisi lalu, Vietnam pula mengisi Kumpulan B berserta Kemboja dan Laos. Manakala juara edisi sulung, Thailand pula sekumpulan dengan Myanmar dan Timor Leste dalam Kumpulan C.

Sepertimana format kebiasaannya, juara bagi setiap kumpulan dan naib juara terbaik merentasi ketiga-tiga kumpulan ini akan mara ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir untuk merebut trofi kejuaraan.
Pada edisi lalu yang berlangsung di Thailand, skuad negara pimpinan E. Elavarasan pada ketika itu berjaya membawa Malaysia muncul juara Kumpulan B. Namun begitu, perjalanan skuad berjulukan Harimau Muda tersekat di separuh akhir selepas dibantai Vietnam 4-1.
Untuk makluman, Kejuaraan ASEAN B-23 Piala Mandiri 2025 ini akan berlangsung dari 15hb hingga 29hb Julai.