Jenama Sukan Indonesia Ikat Penjaga Gol Kebangsaan Sebagai Duta Rasmi Sarung Tangan
Hafiz Omar

Penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohammad dilantik sebagai Duta Rasmi Utama FAT Sports – sebuah syarikat barangan sukan dari Indonesia.
Pemain berusia 29 tahun yang juga merupakan penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menandatangani kontrak bersama FAT Sports bertempoh 1 tahun dengan pilihan lanjutan selama 1 tahun.
Selain itu, FAT Sports turut menandatangani mengikat tiga lagi penjaga gol tempatan iaitu Sikh Izhan Nazrel, Syed Nasrulhaq Syed Bidin dan Rahadiazli Rahalim yang dilabelkan sebagai penjaga gol terbaik dalam negara saat ini.
Perkembangan itu menyaksikan keempat-empat penjaga gol berkenaan bakal menggunakan sarung tangan keluaran FAT Sports yang diasaskan oleh Franky Adi Thama apabila turun beraksi samada bersama skuad kebangsaan mahupun peringkat kelab.

Pengasas FAT Sports, Franky Adi Thama memaklumkan mengikuti rapat prestasi keempat-empat penjaga gol ini dan dilihat sesuai untuk dijadikan sebagai duta bagi jenamanya.
“Selepas 10 tahun kami bertapak di Malaysia, kini sudah sampai masanya untuk kami berkembang dan melantik empat penjaga skuad kebangsaan Malaysia sebagai duta kepada produk kami.
“Keempat-empat mereka ini sudah kami kenal pasti sebagai penjaga terbaik di Malaysia dan ianya juga langkah terbaik untuk lebih ramai mengenali produk kami sebelum kami melancarkan kedai pertama kami di Johor Bahru, tahun ini,” katanya dalam sidang media.
Dalam majlis menandatangani perjanjian persefahaman yang berlangsung di Cyberjaya itu tadi, FAT juga memaklumkan dalam proses untuk membuka kedai di Johor Bahru – kedai pertamanya di Malaysia.