Aaron-Wooi Yik Rangkul Kejuaraan Kedua Super 750 – Raih Lebih RM300,000

June 1, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menambah satu lagi koleksi kejuaraan daripada saingan individu dalam Jelajah Dunia BWF Super 750 dalam kariernya.

Gandingan nombor tiga dunia itu menjelmakan kejuaraan terbaharu itu susulan memenangi perlawanan akhir bertemu beregu Republik Korea, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae di Terbuka Singapura 2025, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, yang memakan masa lebih satu jam lamanya, Aaron-Wooi Yik muncul juara selepas bertarung tiga set permainan sebelum menoktahkannya menerusi skor 15-21, 21-18 dan 21-19.

Susulan kemenangan itu, AS$74,000 atau bersamaan kira-kira RM314,981 masuk ke dalam koceknya disamping pungutan 11,000 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia dan Ranking Jelajah Dunia.

Bagi Ranking Dunia, pertambahan itu tidak dapat melonjakkan kedudukannya namun ianya mengecilkan jurang pungutan mata antara Aaron-Wooi Yik dengan beregu yang berada di ranking kedua dunia dari Denmark, Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen.

Sebagai rekod, ini merupakan kejuaraan dari Jelajah Dunia BWF Super 750 diraih Aaron-Wooi Yik selepas menjuarai Terbuka Denmark 2023 yang juga merupakan kejuaraan sulung mereka dalam siri Jelajah Dunia BWF.

Bukan itu sahaja, kejuaraan di Terbuka Singapura pada hari ini mencerminkan prestasi memuncak Aaron-Wooi Yik pada ketika ini lebih-lebih lagi selepas berjaya menjuarai Terbuka Thailand 2025 dan mara ke perlawanan akhir Masters Malaysia 2025 pada dua minggu dan seminggu lalu masing-masing.

Prestasi memuncak Aaron-Wooi Yik itu akan teruji pada minggu berikutnya apabila mereka terbang ke Jakarta untuk menyertai saingan Terbuka Indonesia 2025 – Jelajah Dunia BWF Super 1000 – yang akan membuka tirainya pada Selasa.

Aaron-Wooi Yik akan memulakan kempen itu dengan menentang beregu Denmark, Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard – beregu yang sama mereka tumbangkan di pusingan 32 Terbuka Singapura dan suku akhir Masters Malaysia.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd