Facundo Garcés Pemain Berdarah Warisan Baharu Harimau Malaya – Bernilai RM5.8 Juta
Hafiz Omar

Skuad bola sepak senior kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya menerima kehadiran seorang lagi pemain berdararah warisan baharu Facundo Tomás Garcés atau nama pendeknya, Facundo Garcés.
Pemain kelahiran Santa Fe, berusia 25 tahun dan beraksi di Deportivo Alaves – kancah tertinggi bola sepak Sepanyol – disahkan menyertai skuad kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sebelum ke Sepanyol pada Januari lalu, Garcés yang merupakan seorang pertahanan tengah memulakan dan mengembangkan karier bola sepaknya bersama Club Atletico Colon yang berpangkalan di Argentina sejak dari zaman remajanya.
“Garcés, yang pernah bermain di liga utama Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama Deportivo Alavés di La Liga, telah melengkapkan segala keperluan pendaftaran dan kelayakan, dan kini tersedia untuk dipilih oleh ketua jurulatih Peter Clamovski.” tulis kenyataan oleh FAM menerusi pelbagai platform media sosial, Malaysia NT, pada Isnin.

Berdasarkan kepada laman Transfermarkt, Garcés yang mempunyai ketinggian 1.89 meter (m) telah merekodkan sepuluh penampilan bersama Deportivo Alaves termasuk beraksi 90 minit ketika menentang salah satu gergasi Sepanyol iaitu Atletico Madrid.
Bukan itu sahaja, kemasukan Garcés menjadikan dirinya sebagai pemain dengan nilaian termahal dalam skuad Harimau Malaya setakat ini – 1.2 juta euro atau bersamaan kira-kira RM5.8 juta.
Kemampuan Garcés dijangka akan diuji dalam perlawanan tertutup menentang Cape Verde di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Dia dijangka meraih debut dalam perlawanan kompetitif bersama Harimau Malaya ketika aksi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10hb Jun kelak.
Garcés merupakan pemain berdarah warisan ketiga dibawa masuk ke dalam skuad Harimau Malaya era Peter Cklamovski selepas pemain tengah, Hector Hevel dan bek kiri, Gabriel Palmero.
Featured Image: Deportivo Alaves