Harimau Malaya Tambah 4 Pemain Berdarah Warisan – Machuca, Irazabal, Figueiredo & Holgado

June 4, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Teka-teki mengenai pemain-pemain berdarah warisan yang seterusnya akan menyertai skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski terjawab pada hari ini.

Menerusi satu kenyataan media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada pihak media sebentar tadi, empat nama iaitu Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado menjadi pemain berdarah warisan terbaru yang menyertai skuad kebangsaan menjelang aksi bertemu Vietnam pada 10hb Jun (Selasa). 

Sedikit maklumat mengenai keempat-empat pemain terbabit, berdasarkan laman sesawang Transfermarkt, Machuca, kelahiran Argentina yang berusia 25 tahun merupakan pemain sayap kanan yang turut mampu beraksi sebagai sayap kiri. Dia kini beraksi bersama Club Atletico Velez Sarsfield di negara kelahirannya dan mempunyai nilai pasaran €2.5 juta ≈ RM12.10 juta.

Kedua, Irazabal yang berusia 28 tahun kelahiran Sepanyol merupakan pertahanan tengah yang boleh juga mengisi posisi bek kiri. Beraksi di Azerbaijan bersama Sabah FK dan mempunyai nilai pasaran €650,000 ≈ RM3.15 juta.

Seterusnya, Figueiredo, kelahiran Brazil yang berusia 29 tahun merupakan seorang penyerang tengah disamping mampu beraksi sebagai sayap kiri dan kanan. Nilai pasarannya adalah €2.10 ≈ RM10.16 juta dan bermain bersama Basaksehir FK dalam kancah bola sepak Turki.

Akhir sekali, Holgado yang bakal menginjak usia 30 tahun pada 28 Jun kelak merupakan kelahiran Argentina. Dia merupakan penyerang tengah dengan nilai pasaran €800,000 ≈ RM3.87 juta. Pada saat ini, Holgado merupakan pemain CD America de Cali yang berpangkalan di Colombia.

Keempat-empat pemain ini merupakan tambahan kepada tiga pemain berdarah warisan, Hector Hevel, Gabriel Palmero dan Facundo Garcés yang dijejaki dan dipanggil oleh skuad kebangsaan era baharu bagi mengharungi Kumpulan F, pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd