Malaysia Ada 8-10 Pemain Naturalisasi Baharu, Sukar Nak Analisis – Ketua Jurulatih Vietnam

June 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kedatangan pemain-pemain naturalisasi baharu berdarah campuran ke dalam skuad bola sepak senior kebangsaan berjulukan Harimau Malaya sedikit sebanyak menjejaskan persiapan Vietnam – pasukan yang akan dihadapi Malaysia pada 10hb Jun kelak.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh ketua jurulatihnya dari Republik Korea, Kim Sang-sik kerana pihaknya mengalami kesukaran untuk menganalisis taktik yang bakal digunakan oleh Peter Cklamovski.

Selain itu, persiapan mereka turut terjejas dengan kehilangan salah seorang penyerangnya yang pernah beraksi di Jepun, Korea dan Belgium, Nguyen Cong Phuong, 30 tahun, susulan ditimpa kecederaan lama semasa menjalani kem latihan pusat, baru-baru ini.

“Berdasarkan maklumat yang kami ada, Malaysia mempunyai sekitar 8-10 pemain-pemain naturalisasi baharu berbanding kejohanan lalu, (keadaan) ini menyebabkan lebih sukar untuk menganalisis taktik pihak lawan.”

“Kami akan terus memantau dan menganalisis untuk melakukan persiapan yang sebaiknya.” kata Sang-sik seperti dipetik daripada laman sesawang Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF).

@vff.official Đội tuyển Việt Nam tập buổi cuối cùng trước khi sang Malaysia #VFF #doituyenvietnamvietnam #sportsontiktok ♬ original sound – VFF Official

Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan penyertaan empat orang pemain naturalisasi baharu berdarah campuran iaitu Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.

Kehadiran empat pemain itu selepas FAM merekrut Hector Hevel, Gabriel Pelmero dan Facundo Garces sejak Mac lalu.

Pada masa yang sama, Malaysia telah mempunyai pemain berdarah campuran serta naturalisasi sedia ada seperti Corbin-Ong, Matthew Davies, Junior Eldstal, Fergus Tierney, Romel Morales, Nooa Laine, Stuart Wilkin, Paulo Josue, Dion Cools dan Endrick dos Santos.

Dimaklumkan, Sang-sik yang membimbing skuad ASEAN All Stars memenangi perlawanan menentang Manchester United di SNBJ pada minggu lalu telah memulakan kem latihan pusat skuad kebangsaan Vietnam sejak 30hb Mei lalu.

Menurut maklumat yang dikongsikan, skuad berjulukan Pahlawan Bintang Emas ini dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur pada 6hb Jun (Jumaat) sebelum turun berentap dengan Malaysia pada Selasa bagi aksi kedua peringkat Kumpulan F, pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Sebagai rekod, Vietnam belum pernah ditewaskan Malaysia dalam lapan perlawanan akhir sejak November 2016 kecuali mencatatkan satu keputusan seri ketika bertemu dalam saingan Piala AFF (kini dikenali sebagai Piala ASEAN) pada Disember 2018.

Featured Image: Liên đoàn Bóng đá Việt Nam – VFF

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd