Terbuka Indonesia: Tang Jie-Ee Wei, Beregu No.1 Denmark Rebut Slot Separuh Akhir

June 5, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berhasil membolot tiket ke peringkat suku akhir Terbuka Indonesia 2025 selepas mengetepikan lawannya, Mads Vestergaard dan Christine Busch dengan mudah pada pusingan 16, sebentar tadi.

Pasangan negara yang menghuni ranking keempat dunia itu hanya memerlukan sekitar 30 minit untuk mencatatkan kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-12 ke atas gandingan dari Denmark tersebut.

Kemenangan itu membawanya bertemu dengan sepasang lagi lawan dari negara yang sama, beregu campuran No.1 Denmark, Jesper Toft dan Amalie Magelund untuk merebut slot separuh akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 1000 ini.

Terdahulu, Jesper-Amalie, yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, mara susulan menumpaskan pasangan dari negara matahari terbit, Yuichi Shimogami dan Sayaka Hobara secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 25-23 dalam masa 49 minit.

Berdasarkan rekod, Tang Jie-Ee Wei dan Jesper-Amalie belum pernah berentap dalam mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini dan pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat merupakan yang pertama melibatkan kedua-dua pasangan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd