Arif Disenarai Pendek Rebut Gelaran Pemain Bintang Masa Hadapan ACLE 24-25

June 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Selepas membolot anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut di majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025, nama Arif Aiman diangkat ke peringkat antarabangsa apabila disenarai pendek untuk merebut gelaran Pemain Bintang Masa Hadapan ACLE Musim 2024-2025.

Arif, 23 tahun, disenaraikan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas mengharungi musim yang cemerlang bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan menjaringkan lima gol dan menghasilkan dua bantuan gol.

Namanya diletakkan sebaris dengan sembilan lagi pemain muda berbakat yang menyinar dari seluruh asia seperti Ziyad Al Johani (Al Ahli Saudi FC), Suphanat Muenta (Buriram United), Kota Takai, Yuto Ozeki (Kawasaki Frontale), Byeon Jun-soo (Gwangju FC), Shinichi Chan (Shanghai Shenhua), Riku Yamane, Asahi Uenaka (Yokohama F. Marinos) dan Salem Al Najdi (Al Nassr FC).

Kesemua nama ini dipilih dalam kelompok usia 23 tahun dan ke bawah yang memberikan impak kepada kelab masing-masing dalam kancah ACLE musim ini. Pemenangnya akan ditentukan berdasarkan undian oleh para peminat di laman sesawang rasmi AFC sehingga pukul 5 petang pada 13hb Jun 2025.

Ketika artikel ini ditulis, Arif yang membantu JDT mara sehingga pusingan 16 ACLE berada di tangga ketiga dengan 10.4% undian di bawah Ziyad Al Johani dan Suphanat Muenta yang mendahului dengan 51.28% dan 34.51% undian masing-masing.

Undi Arif Aiman sebagai Pemain Bintang Masa Hadapan ACLE 24-25 DI SINI

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd