3 Pasukan ‘Feeder’ Sah Sertai Liga A1 Semi-Pro 2025-2026

June 5, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

12 buah pasukan yang berjaya mengesahkan penyertaan setakat ini akan memeriahkan saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026 yang dijadualkan berlangsung dari penghujung Julai dan berakhir pada Mei 2026.

Menurut kenyataan media oleh penganjur, Amateur Football League (AFl), 12 buah pasukan itu terdiri daripada 4 pasukan baharu dan 5 pasukan sedia ada disamping pembabitan 3 buah pasukan ‘feeder’.

Senarai 12 buah pasukan tersebut ialah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II,  Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II,  Kelantan WTS FC, Kedah FA, Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Pada masa yang sama, Presiden AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi turut mendedahkan 3 buah pasukan diberikan kelulusan bersyarat bagi membolehkan mereka turut serta dalam saingan Liga A1 Semi Pro bagi musim ini.

“Tiga pasukan tersebut ialah Kedah Darul Aman (KDA), Guar Syed Alwi (GSA FC) dan Seoul Phoenix FC (Korea Selatan) yang berpangkalan di Lembah Klang.”

“Mereka diberikan tempoh 10 hari (6 Jun – 15 Jun 2025 ) untuk melengkapkan beberapa kriteria/dokumen yang diperlukan.”

“Perancangan kita sebelum ini untuk mendapatkan sehingga 14 pasukan yang bakal bersaing.” 

“Jika semua atau ada di antara mereka berjaya mendapatkan kelulusan penuh maka akan bertambah bilangan pasukan.”

“Jika tidak, AFL tiada masalah untuk meneruskan dengan 12 Pasukan yang sememangnya telah bersedia,” katanya selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL pada hari ini.

Selain itu, Yusoff turut memaklumkan dua pasukan iaitu UM-Damansara FC dan Ipoh City FC sedang dipertimbangkan untuk disertakan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro. Bagaimanapun, kedua-duanya perlu melalui proses yang sama sebelum ini dengan memenuhi segala kriteria yang dikehendaki.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd