Amina Singkir Sivasangari Di Suku Akhir Terbuka British
Hafiz Omar

Kempen perseorangan skuasy wanita negara, Sivasangari Subramaniam di Terbuka British 2025 menemui titik noktahnya pada suku akhir – selepas mara buat julung kalinya dalam kariernya pada peringkat itu.
Pemain berusia 26 kelahiran Sungai Petani, Kedah tidak dapat meneruskan kemaraannya ke peringkat separuh akhir bagi kejohanan Jelajah Skuast PSA bertaraf Berlian terbabit susulan tumpas di tangan pemain remaja dari Mesir, Amina Orfi.
Dalam pertarungan yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia, pemain berusia 17 tahun berkenaan berhasil menewaskan Sivasangari menerusi empat set permainan yang berkesudahan dengan skor 11-2, 4-11, 11-7 dan 11-9 dalam masa 59 minit.
Keputusan itu sekaligus menjadi Sivasangari tewas buat kali keempat daripada lima pertemuan dengan Amina di kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, Amina yang melakar kemenangan berhasil membolot tiket ke peringkat separuh akhir. Menantinya di situ adalah rakan senegaranya yang merupakan juara dunia merangkap pemain No.1 dunia, Nouran Gohar.
Nouran, 27 tahun, mara ke separuh akhir dengan menewaskan Tinne Gilis dari Belgium menerusi skor 11-9, 11-7 dan 11-3.
Featured Image: PSA Squash Tour