Terbuka Indonesia: Tang Jie-Ee Wei Raih Tiket Separuh Akhir

June 6, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memastikan tiket separuh akhir Terbuka Indonesia 2025 menjadi milik mereka dengan menumbangkan gandingan No.1 Denmark, Jesper Toft dan Amalie Magelund.

Bagaimanapun, kemaraan itu tidak menjelma dengan mudah. Pemain berusia 27 dan 24 tahun masing-masing itu terpaksa beraksi selama 54 minit di atas Gelanggang 1, Istora Senayan. 

Mereka bermula dengan langkah kiri apabila tewas menerusi skor 17-21. Bagaimanapun, Tang Jie dan Ee Wei yang kembali bergabung semula dalam saingan Jelajah Dunia BWF di Terbuka Singapura pada minggu lalu berjaya bangkit dan mencetak kemenangan pada set kedua dan ketiga dengan kutipan mata 21-16 dan 21-14 masing-masing.

Sebagai rekod, ini merupakan julung kalinya Tang Jie-Ee Wei dan Jesper-Amalie bertembung di kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, lawan bagi Tang Jie-Ee Wei pada peringkat separuh akhir belum dimuktamadkan ketika artikel ini ditulis. Namun, mereka akan menantikan cabaran samada daripada beregu senegara, Goh Soo Huat dan Shevon Jemie Lai atau beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran.

Featured Image: Thailand Open 2023

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd