Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah Jejak Separuh Akhir Super 1000

June 6, 2025
Badminton

Hafiz Omar

Beregu wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 1000 buat julung kalinya bagi tahun 2025.

Pasangan yang menghuni ranking keempat dunia terbabit menjelmakan kemaraan itu di Terbuka Indonesia 2025 selepas berhasil menjinakkan beregu Jepun, Rin Iwanaga dan Kie Nakanishi pada suku akhir, hari ini.

Berentap di Gelanggang 1, Istora Senayan, Pearly-Thinaah melakar kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-6 dan 21-18 dalam masa 37 minit. 

Susulan kemenangan itu, Pearly-Thinaah kini melebarkan rekod kepada lima kemenangan daripada tujuh pertemuan dengan Iwanaga-Nakanishi di kejohanan antarabangsa.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir, beregu dari negara Tembok Besar yang menduduki ranking keenam dunia, Li Yi Jing dan Luo Xu Min menjadi pencabar buat Pearly-Thinaah.

Gandingan dari China itu melangkah ke separuh akhir dengan menumpaskan Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto dari Jepun juga secara “straight set” menerusi skor 21-9 dan 21-19.

Merujuk kepada rekod, mereka pernah berentap sebanyak satu kali di Terbuka China 2024. Bagaimanapun, pertarungan di peringkat pusingan 16 itu berpihak kepada Yi Jing-Xu Min menerusi skor 21-16 dan 21-18.

Untuk makluman, ketika beraksi di dua kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 pada tahun ini, Pearly-Thinaah mengalami kekalahan pada pusingan 32 dan suku akhir di Terbuka Malaysia dan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England masing-masing.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd