Tak Sama Macam 2018, Malaysia Ada 17-18 Pemain Naturalisasi – Kapten Vietnam
Hafiz Omar

Skuad bola sepak senior kebangsaan Vietnam mengekalkan rekod tanpa kalah, hampir sedekad lamanya, apabila bertemu Malaysia samada di tempatnya sendiri, gelanggang berkecuali mahupun di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ini dapat disaksikan dengan skuad berjulukan Pahlawan Bintang Emas mencatatkan tujuh kemenangan dan sekadar seri sebanyak satu kali daripada lapan perlawanan secara keseluruhan bertemu Malaysia, sejak November 2016.
Bagaimanapun, kapten pasukan, Do Duy Manh berkata perlawanan pada malam esok di SNBJ bakal menghidangkan sesuatu yang berbeza khususnya berbanding ketika dirinya turun beraksi menentang Malaysia pada perlawanan akhir Piala AFF 2018.
Reaksi itu dilontarkannya berikutan Malaysia berjulukan Harimau Malaya kini dibimbing oleh ketua jurulatih baharu, Peter Cklamovski dari Australia dan penyertaan beberapa pemain berdarah campuran yang baru sahaja dinaturalisasikan.

“Sudah tentu perlawanan malam esok tidak sama seperti tahun 2018, (Malaysia mempunyai) jurulatih baharu dan skuad baharu, kami tahu pasukan kamu mempunyai 17-18 pemain naturalisasi, sebahagian daripadanya bermain di luar negara,”
“Ia tidak akan menjadi perlawanan yang mudah, tetapi kami mempunyai sasaran tersendiri dan kami akan lakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran itu,” kata pertahanan berusia 28 tahun itu dalam sidang media praperlawanan di SNBJ, pagi tadi.
Selain daripada berhadapan dengan skuad berwajah baharu Malaysia, Duy Manh dan rakan sepasukannya juga mahu memberikan fokus untuk mengatasi tekanan daripada ribuan penyokong Harimau Malaya yang akan turun ke SNBJ.
“Sukar untuk maramalkan keputusan perlawanan pada malam esok, mungkin kami kalah, kami seri, kami menang tetapi untuk diri saya sendiri, saya akan tumpukan kepada perlawanan, selepas wisel penamat ditiup, kita akan ketahui keputusannya,” tambahnya.
Menurutnya, perlawanan pada malam esok bakal menjadi penampilan ketiganya di SNBJ selepas turun beraksi bersama Vietnam dalam perlawanan akhir Piala AFF 2018 dan ketika bersama ASEAN All Stars, baru-baru ini.
Featured Image: Vietnam Football Federation