Peta Hala Tuju Kelantan Red Warrior FC, Beraksi Di Kejohanan Asia 2031-2035
Hafiz Omar

Kelantan Red Warrior FC (KRW) yang ditubuhkan sekitar pertengahan Disember 2024 tampil dengan satu peta hala tuju (roadmap) bagi tempoh sepuluh tahun yang dibahagikan dengan tiga fasa.
Antara yang menarik perhatian adalah kelab bimbingan jurulatih berpengalaman tanah air, Irfan Bakti ini mensasarkan untuk beraksi dalam pertandingan peringkat benua asia dan rantau asia tenggara iaitu Liga Juara-Juara AFC Elite (ALCE) atau Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) serta Kejohanan Kelab ASEAN.
Ianya diletakkan dalam Fasa 3 untuk dicapai dari tahun 2031 hingga 2035 dimana turut menyertakan satu lagi sasaran – peningkatan nilai komersial bagi memastikan penjanaan kewangan yang stabil untuk KRW.

Bagi Fasa 1 tempohnya adalah sepanjang musim 2025-2026, KRW mensasarkan untuk menyertai liga domestik di Malaysia selain menubuhkan kelab dan merangka model kewangan kelab.
Pada Khamis lalu, Amateur Football League (AFL) mengesahkan bahawa KRW akan menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 yang dijangka bermula penghujung Julai kelak.
Perkembangan ini sekaligus menjadikan KRW telah mencapai sasaran Fasa 1 sepertimana digariskan dalam peta hala tujunya.

Sementara itu, Fasa 2 yang bertempoh dari 2026 hingga 2030 pula menggariskan dua perkara iaitu pembangunan Akademi KRWFC dan meningkatkan kehadiran penonton di stadium serta jumlah penyokong di media sosial dengan tujuan mengukuhkan kedudukannya dalam Liga Malaysia.
Selain peta hala tuju, KRW juga telah melancarkan program Keahlian KRWFC 2025/2026 dengan pilihan tiga tier – The Warrior, The Warrior Plus dan The Warrior Prime yang berharga RM50, RM120 dan RM360 masing-masing.
Setakat ini, KRW memaklumkan seramai 9,345 telah mendaftar menjadi ahlinya.
