DPMM FC Mahu 7 Pemain Import, Sasar 6 Teratas Liga Super
Hafiz Omar

DPMM FC berpangkalan di Brunei yang akan beraksi sebagai kelab jemputan dalam kancah bola sepak tempatan merancang untuk mengikat tujuh pemain import bagi mengharungi saingan Liga Super 2025-2026.
Manakala pemain-pemain dari negaranya sendiri pula akan didaftarkan dengan jumlah 15 orang.
Setakat ini, kelab bimbingan James McAllister dari Scotland itu sudan mengikat khdimat tiga pemain import – Kristijan Naumovski (Macedonia Utara), Damir Muminovic (Iceland) dan Ramadhan Sananta (Indonesia).
Pada saat ini, mereka sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain Filipina, Amani Aguinaldo.
Sementara itu, Pengurus Besar DPMM FC, Md Ali Momin berkongsikan bahawa kelabnya akan menandatangani dua atau tiga pemain Malaysia – dilabelkan setaraf dengan pemain tempatan Brunei berdasarkan perjanjian dengan Malaysian Football League (MFL) – untuk mengisi beberapa posisi.
Baru-baru ini, DPMM FC cuba mendapatkan khidmat Akhyar Rashid namun menarik brek tangan selepas mendapati pemain sayap lincah itu masih mempunyai kontrak dengan Terengganu FC.
Sebelum itu, turut dikongsikan bahawa mereka mahu mendapatkan khidmat Azwan Aripin namun ianya tidak dapat direalisasikan.
Kini usaha mereka dialihkan kepada penyerang naturalisasi kelahiran Argentina, Sergio Aguero dan pertahanan kiri, Tommy Mawat Bada.
Setakat ini, mereka telah mendapatkan khidmat seorang pemain kelahiran Malaysia iaitu Fairuz Zakaria – pertahanan berusia 28 tahun.
Bagi musim 2025-2026, Md Ali memaklumkan kelabnya meletakkan sasaran untuk menghuni kelompok enam terbaik.
Featured Image: FAM