Program RTG: Sivasangari Diserap Masuk, Lee Zii Jia Menolak
June 10, 2025 Hafizuddin Omar

Pemain skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam menjadi atlet terbaharu yang diserap masuk dalam program Road To Gold (RTG) – sebuah program sokongan daripada pihak kerajaan untuk membantu atlet memburu pingat emas di temasya Sukan Olimpik.

Kemasukan pemain berusia 26 tahun kelahiran Sungai Petani yang menghuni ranking kesembilan dunia itu disahkan sendiri oleh Jawatankuasa RTG sepertimana siaran media yang diterbitkan pada hari ini.

“Atlet skuasy Sivasangari Subramaniam kini telah diserap masuk ke dalam Program RTG berdasarkan kedudukan semasa ranking dunia.” tulis kenyataan tersebut.

Nama Sivasangari mengiringi 11 lagi atlet lain yang turut menyatakan komitmen untuk terlibat dalam program RTG iaitu Mohd Shah Firdaus, Nurul Izzah Izzati (berbasikal), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat) serta empat beregu badminton tanah air, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Sementara itu, dua lagi beregu badminton negara yang bergerak secara bersendirian (independent) iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai belum memuktamadkan penyertaan masing-masing.

“Status mereka akan dirasmikan selepas Sekretariat RTG bertemu mereka untuk memuktamadkan maklumat perkhidmatan sokongan dan perjanjian komitmen,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada masa yang sama, perseorangan badminton lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pula memilih untuk tidak menyertai program RTG.

Berdasarkan kepada satu kenyataan oleh Team LZJ, mereka menjelaskan memilih untuk menolak untuk menyertainya atas alasan Zii Jia masih dalam proses pemulihan daripada kecederaannya.

Memandangkan program ini dikhususkan kepada atlet terbaik dalam kalangan yang terbaik di dalam negara, pihaknya merasakan adalah lebih baik sokongan ini diberikan kepada rakan-rakan atlet yang lebih layak pada saat ini.

Komen