Ranking BWF: Jurang Mata Pearly-Thinaah Dan Matsuyama-Shida Semakin Mengecil
Hafiz Omar

Beregu badminton wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan kini melakar satu lagi pencapaian baharu apabila berhasil menjejakkan kaki di tangga ketiga dalam Ranking Dunia buat julung kalinya dalam karier mereka.
Kejayaan mara ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia 2025 pada Ahad lalu, yang memberikan pertambahan sebanyak 10,200 mata, memainkan peranan besar dalam memacu mereka ke tangga ketiga itu.
Untuk makluman, Pearly dan Thinaah yang berusia 25 dan 27 tahun masing-masing berada di kedudukan tersebut hasil mengumpul 86,066 mata.
Menariknya, kutipan mata itu menyaksikan jurang Pearly-Thinaah dengan beregu wanita No.2 dunia dari Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida semakin mengecil – dipisahkan dengan 1,116 mata sahaja.
Sementara itu, beregu China yang muncul juara Terbuka Indonesia 2025, Liu Sheng Shu dan Tan Ning masih masih mengungguli tangga pertama Ranking Dunia dengan pungutan 107,334 mata.
Manakala sepasang lagi beregu wanita negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing pula kekal tidak berganjak di tangga ke-23 dunia.
Featured Image: Badminton Asia Championship 2025