Penyerang Naturalisasi Vietnam Bagi Amaran Awal, Mahu Balas Dendam

June 11, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Nguyen Xuan Son yang kini sedang menjalani pemulihan berikutan mengalami kecederaan patah kaki dilihat seakan amaran awal untuk membalas dendam terhadap Malaysia selepas negaranya, Vietnam tewas 0-4 pada malam tadi.

Kekalahan besar yang disaksikan lebih 60,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) itu turut menyaksikan rekod kebal Vietnam ke atas Malaysia menemui titik noktahnya. 

Menerusi akaun Instagram rasminya, penyerang kelahiran Brazil yang mendapat kerakyatan Vietnam pada September tahun lalu memuat naik IG Story menyertakan tarikh 31 Mac 2026 dengan latar belakang serba hitam.

Itu merupakan tarikh perlawanan akhir peringkat Kumpulan H bagi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2027 melibatkan Vietnam dan Malaysia di tempatnya sendiri.

Ketika itu, Xuan Son atau nama sebenarnya, Rafaelson dijangka dapat kembali beraksi mewakili Vietnam berjulukan Pahlawan Bintang Emas.

Pada April lalu, kelabnya, Thep Xanh Nam Dinh FC berkongsikan mengenai sitausi semasa penyerang berusia 28 tahun yang sudah kembali menjalani latihan ringan – tiga bulan selepas menjalani pembedahan.

Media berpangkalan di negara berkenaan menjangkakan Xuan Son dapat kembali beraksi secara kompetitif di atas padang sekitar Ogos atau September – jika proses pemulihannya mengikut jadualnya.

Sebagai rekod, Xuan Son meraih debutnya bersama Vietnam semasa diturunkan menentang Vietnam dalam saingan Piala ASEAN 2024.

Penyertaannya dalam skuad Vietnam memberikan impak segera dengan menjaringkan tujuh gol disamping mencetak dua bantuan gol sebelum mengalami patah kaki dalam aksi timbal balik perlawanan akhir Piala ASEAN 2024 bertemu Thailand di Stadium Rajamangala.

Featured Image: Thep Xanh Nam Dinh FC Facebook

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd