Saddil Kembali Ke Indonesia, Sertai Kelab Bimbingan Bojan Hodak

June 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Sekitar penghujung April lalu, Saddil Ramdani kelahiran Indonesia menulis panjang di akaun Instagram peribadinya merakamkan ucapan terima kasih buat kelab serta penyokong Sabah FC sekaligus menandakan perpisahannya dengan kelab berpangkalan di utara kepulauan Borneo itu.

Perpisahan itu terjadi selepas pemain sayap berusia 26 tahun itu menyarung jersi Sabah FC selama empat musim dengan merekodkan 88 penampilan selain meledak 22 gol serta mencetak 30 bantuan gol – menurut laman sesawang Transfermarkt.

Tatkala destinasi baharunya menjadi pertanyaan, juara Liga 1 Indonesia, Persib Bandung tampil mengumumkan mendapatkan khidmat Saddil pada Rabu. Kedatangannya dikongsikan menerusi satu video berdurasi satu minit dan 32 saat di pelbagai platform media sosialnya.

Menurut laporan media dari negara seberang, Saddil mengikat kontrak selama tiga musim bersama Persib. Menariknya, namanya telah dicangkan sendiri oleh Bojan yang telah memerhatinya sejak beraksi bersama Pahang FA dari tahun 2019.

Untuk makluman, Persib menjadi kelab kelima disertai dalam karier seniornya selepas Persela Lamongan, Pahang FA, Bhayangkara dan Sabah FC.

Featured Image: Malaysian Football League

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd