K. Rajagobal Puji Arif Aiman
June 12, 2025 Hafizuddin Omar

Persembahan cemerlang penyerang sayap skuad bola sepak kebangsaan, Arif Aiman semasa menentang Vietnam pada Selasa lalu bukan sahaja mendapat pujian daripada para penyokong dan pemerhati sukan tanah air.

Bahkan kehebatan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mencetak dua bantuan gol kepada Rodrigo Holgado dan Corbin-Ong masing-masing itu turut meraih perhatian bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Individu berusia 68 tahun yang muncul sebagai satu-satunya jurulatih yang berjaya membimbing skuad berjulukan Harimau Malaya menjuarai Piala AFF (kini dikenali Piala ASEAN) pada tahun 2010 bukan sahaja melontarkan pujian khas buat Arif bahkan mengharapkan agar lebih ramai pemain Malaysia sepertinya muncul buat negara. 

“Arif Aiman berada dalam kelasnya yang tersendiri. Kita perlu lebih ramai pemain sepertinya.” tulis Rajagobal yang turut dijuluki King Gobal oleh peminat dan penyokong bola sepak tempatan menerusi akaun X peribadinya.

Perlawanan yang dihadiri 61,512 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) turut menyaksikan Arif menjadi “outfield player” tunggal terdiri dalam kalangan pemain tempatan yang dipilih oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski membarisi kesebelasan utama.

Masih segar dengan kejayaan meraih gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali keempat berturut-turut di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025, Arif, 23 tahun, membuktikan diri dan kualiti dimilikinya mampu berada pada tahap yang sama serta serasi dengan pemain-pemain berdarah campuran tersebut sekaligus membentuk skuad Malaysia sebagai sebuah pasukan yang lebih kuat.

Selain itu, kemampuan dan skil individu Arif turut terserlah dimana kehadirannya memberikan ancaman kepada bek kiri Vietnam serta mengucar-ngacirkan barisan pertahanan skuad berjulukan Pahlawan Bintang Emas.

Sekitar tiga tahun lalu, Rajagobal telah pun memuji bakat Arif yang ketika itu baru berusia 20 tahun namun telah memberikan impak ketika mewakili skuad Harimau Selatan beraksi dalam kancah antarabangsa, Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Featured Image: Malaysian NT

Komen