KL City FC, KDN FC & PDRM FC Sah Sertai Liga Super 2025-2026

June 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Juara Piala Malaysia 2021 iaitu Kuala Lumpur City FC (KL City) serta juara MFL Challenge Cup 2023, PDRM FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) sah akan beraksi dalam kancah Liga Super 2025-2026.

Perkembangan itu hadir selepas pihak First Instance Body (FIB) memaklumkan bersetuju untuk memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada ketiga-tiga kelab tersebut.

Pemberian itu dilakukan selepas ketiga-tiganya telah mengemukakan dokumen kewangan tambahan selewat-lewatnya pada 31hb Mei 2025.

“Setelah meneliti dan menilai dengan teliti dokumen kewangan tambahan yang dikemukakan itu, FIB telah bersetuju untuk memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada ketiga-tiga kelab tersebut setelah mereka berjaya memenuhi segala keperluan pematuhan yang ditetapkan.” tulis kenyataan oleh FIB menerusi satu siaran media yang dikongsikan pada hari ini.

Sebelum ini, KL City FC, KDN FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan “sanction” yang memerlukan mereka menghantar dokumen kewangan tambahan itu.

Tiga kelab ini menyertai lapan kelab lain yang telah menerima Lesen Kebangsaan iaitu Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC dan dua kelab yang diberikan Lesen Kebangsaan Luar Biasa; Melaka FC dan Imigresen FC untuk beraksi dalam kancah Liga Super musim mendatang.

Sementara itu, kelab yang berpangkalan dari Brunei iaitu DPMM FC pula menyertai saingan Liga Super 2025-2026 sebagai kelab jemputan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd