MB Negeri Sembilan Dilantik Sebagai Pengerusi Negeri Sembilan FC

June 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Negeri Sembilan Football Club (NSFC) yang akan memulakan kempen Liga Super 2025-2026 pada Ogos kelak kini dipengerusikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Perkembangan itu hadir susulan Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC), YTM Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri mengumumkan pelantikan tersebut sepertimana dikongsikan oleh pihak NSFC, sebentar tadi.

“YAB Dato’ Seri Aminuddin membawa bersama pengalaman kepimpinan yang luas serta visi yang progresif untuk bola sepak Negeri Sembilan.”

“Peranan beliau sebagai Pengerusi NSFC diyakini akan memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri, PBNS dan pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan NSFC sebagai kelab berprestasi tinggi, mampan dan dihormati.” kata YTM Tunku Syed Razman.

Sementara itu, Aminuddin berbesar hati menerim pelantikan itu dan menyifatkan ianya sebagai satu amanah besar.

“Bola sepak bukan sekadar sukan, ianya adalah wahana perpaduan, identiti negeri, dan platform pembangunan belia yang mampu menyatukan seluruh lapisan masyarakat.”

“Justeru itu, saya mengajak seluruh penyokong, penaja, dan rakan strategik untuk bersama-sama membina semula kekuatan NSFC. Dengan semangat setiakawan dan iltizam yang tinggi, saya yakin Negeri Sembilan mampu kembali sebagai pasukan yang kompetitif di peringkat kebangsaan.” ujarnya.

Pelantikan ini dilihat mengukuhkan struktur tadbir urus bola sepak di Negeri Sembilan selain pengasingan peranan yang jelas antara PBNS dan NSFC.

PBNS akan memberi tumpuan penuh dalam memperkasakan pembangunan akar umbi dan struktur bola sepak negeri seperti pembangunan belia, kejohanan tempatan dan kejurulatihan – sesuai dengan peranannya selaku badan induk bola sepak negeri.

Sementara itu, NSFC pula selaku entiti profesional yang menguruskan sebuah pasukan atau kelab secara profesional yang berdaya saing di peringkat kebangsaan serta serantau.

Featured Image: Negeri Sembilan Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd