Selangor FC Buru Kelompok 2 Terbaik Liga Super – Katsuhito Kinoshi

June 12, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di Lembah Klang yang bakal mempertaruhkan sebahagian besar pemain-pemain baharu, Selangor FC meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok dua terbaik Liga Super 2025-2026.

Sudah pasti saingan Liga Super bukanlah satu-satunya pertandingan yang akan dihadapi mereka kelak. 

Selain saingan Piala FA dan Piala Malaysia, skuad berjulukan Gergasi Merah itu akan turut menyertai dua pertandingan berpiala peringkat antarabangsa iaitu Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) dan Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee.

Kesemua pertandingan berpiala itu tidak diletakkan sasaran khusus oleh jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Tokyo, Jepun berkenaan tetapi beliau mahu membawa skuad Merah Kuning itu mara sejauh yang mungkin.  

“Sekurang-kurangnya dalam pertandingan berpiala seperti Piala FA atau Piala Malaysia (mara) sejauh mungkin (termasuk ACL2 dan Piala Shopee) dan pastinya Liga Super (mensasarkan) tempat pertama atau kedua,” katanya ketika ditemui pihak media, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Kinoshi juga menjangkakan jadual yang padat buat Selangor FC bagi musim hadapan namun beliau percaya anak-anak buahnya dapat mengharunginya.

Kinoshi memaklumkan pasukannya akan kembali berlatih pada Julai kelak sehingga awal Ogos – sebelum bermulanya musim baharu Liga Malaysia. Mereka mengatur beberapa perlawanan untuk menguji pasukan di sini serta di Thailand selain bertemu Asia Warriors FC diketuai Keisuke Honda sekitar penghujung Julai.

Sebagai rekod, musim 2024-2025 yang melabuhkan tirainya April lalu menyaksikan Selangor FC muncul naib juara Piala FA, kandas pusingan 16 Piala Malaysia, merangkul kejuaraan MFL Challenge Cup, kandas peringkat kumpulan ACL2 selain menamatkan Liga Super di tangga kedua.

Featured Image: Selangor FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd