Indera SC Sarung Jersi Jenama Pakaian Sukan Dari Malaysia
Hafiz Omar

Naib juara Piala FA Brunei iaitu Indera SC akan mengharungi Liga Super Brunei musim 2025-2026 dengan persalinan jersi daripada jenama pakaian sukan dari Malaysia.
Perkembangan itu hadir susulan Indera SC yang kini di bawah bimbingan jurulatih dari Malaysia, Raja Isa Akram Shah memeterai kerjasama strategik dengan Forfit.
Hasil kerjasama itu menyaksikan Forfit memberikan tajaan bernilai RM80,000 (~BND24,000) bagi tempoh setahun kepada Indera SC sekaligus membuka lembaran baharu kerjasama jenama sukan dari Malaysia dengan kelab bola sepak dari Brunei.
“Kerjasama ini diharap membantu meningkatkan kredibiliti Forfit dan Indera SC di mata peminat bola sepak rantau ini selain daripada memartabatkan hubungan bola sepak di antara dua negara iaitu Malaysia dan Brunei.”
“Dari sudut pemasaran jenama pula, kami melihat ini adalah potensi untuk membantu ekosistem bola sepak Brunei selain memperkasakan jenama dari Malaysia di luar negara.”
“Penglibatan Raja Isa dan potensi kelab Indera SC ini untuk berkembang menarik minat kami menjadi penaja dan ini adalah permulaan kerjasama kami di Brunei,” kata Pengarah Forfit, Muhammad Fikri Nizam.
Sementara itu, Pengurus Indera SC, Pengiran Abdul Azim Bin Pengiran Othman menzahirkan perasaan gembira akan kerjasama sulung antarabangsa ini dan mengharapkannya dapat membantu kelab tampil lebih baik pada musim baharu nanti.
“Menerusi kehadiran jenama antarabangsa bersama kami, ini adalah permulaan untuk musim yang lebih baik. Kami kini bersedia dengan wajah baharu untuk musim 2025-2026 ini,” ujarnya.
Bagi yang mengikuti saingan bola sepak anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), jenama Forfit pastinya tidak asing dimana mereka menjadi penyedia persalinan jersi rasmi untuk Kelana United FC sejak tahun 2022 termasuk skuad wanitanya yang muncul juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2024.