Nidzam Jamil Kembali Bertugas, Dipilih Bimbing Negeri Sembilan FC
June 13, 2025 Hafizuddin Omar

Selepas berehat sekitar enam bulan, Nidzam Jamil yang membimbing Selangor FC ke perlawanan akhir Piala FA 2024-2025 kembali dalam kancah bola sepak tanah air apabila dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC).

Pelantikan Nidzam, 45 tahun bersama skuad berjulukan Hobin Jang Hobin itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi NSFC, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menerusi satu kenyataan, pada hari ini.

“Mohd Nidzam Jamil merupakan individu berpengalaman luas dalam landskap bola sepak Malaysia, baik sebagai bekas pemain kebangsaan mahupun jurulatih berprofil tinggi.” 

“Kepakaran beliau dalam pembangunan pemain muda dan pendekatan taktikal yang moden diyakini mampu memperkasa NSFC dalam menghadapi saingan Liga Super yang semakin kompetitif,” ujarnya.

Ini merupakan kelab kelima dibimbing Nidzam selepas mengemudi KL SPA FC, AirAsia FC, Felda United FC selain Selangor FC sebelum meletakkan jawatan pada penghujung Oktober tahun lalu.

Dalam kenyataan yang dikongsikan, NSFC hanya mendedahkan Nidzam akan berperanan sebagai ketua jurulatih untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026 yang dijangka bermula Ogos kelak. Perincian mengenai tempoh kontrak yang ditandatangani Nidzam bersama NSFC tidak didedahkan.

Featured Image: Negeri Sembilan FC

Komen