Luqman Kembali Ke Malaysia, Disambar Negeri Sembilan FC
June 13, 2025 Hafizuddin Omar

Selepas hampir lima tahun berkelana di luar negara, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin kembali ke tanah air tercinta untuk meneruskan karier bola sepaknya di sini.

Kelibat pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu bakal dilihat dalam kancah Liga Super 2025-2026 berikutan Negeri Sembilan FC yang kini dibimbing Nidzam Jamil memutuskan untuk mendapatkan khidmatnya.

Pengerusi Negeri Sembilan FC, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun menjelaskan kelabnya mempunyai pelan strategik jangka panjang yang memberikan penekanan utama kepada pembangunan bakat tempatan.

Justeru, pengambilan khidmat Lukman yang berusia 23 tahun itu tampak selari dengan pelan strategik tersebut. Selain itu, kelab berjulukan The Jangs itu turut mengikat penjaga gol muda negara, Azri Ghani dan membawa pertahanan senior, Khuzaimi Piee.

“Bagi menjayakan visi ini, NSFC membuat keputusan untuk menandatangani beberapa pemain utama, antaranya penyerang Luqman Hakim Shamsudin, penjaga gol Muhd Azri Abd Ghani, dan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee.” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini.

Lukman yang merupakan produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) mula berkelana ke luar negara pada tahun 2020 dengan menyertai KV Kortrijk – kelab dalam saingan Liga Belgium.

Bagaimanapun, Lukman dilihat sukar untuk menembusi kesebelasan utama skuad senior sekaligus menyaksikannya dipinjamkan keluar ke Njardvik FC (Iceland) dan Yokohama SSC (Jepun).

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen