GSA FC Tukar Nama, Kini Dikenali Perlis GSA FC
June 13, 2025 Hafizuddin Omar

Kelab Bola Sepak Guar Syed Alwi atau singkatannya GSA FC tampil melakukan sedikit perubahan terhadap namanya dan kini mengguna pakai nama baharu, Perlis GSA FC. 

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada hari ini, dimaklumkan, perubahan itu merupakan sebahagian daripada usaha penjenamaan semula untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi. 

Ianya seiring dengan semangat dan cita-citanya untuk berkembang bersama penyokong dan komuniti bola sepak negeri Perlis. 

Bukan sahaja mengubah nama, kelab berpangkalan di Kangar itu turut menampilkan logo baharu.

Sebelum ini, logonya bertemakan warna hijau dan putih, kini, ianya bertukar kepada warna biru dan kuning – warna rasmi bagi negeri Perlis. Perbezaan paling ketara dapat dilihat menerusi lakaran singa mengaum di atas perisai berbentuk segi tiga Reuleaux sambil dikalungkan dengan daun padi berlapis.

Tidak ketinggalan frasa “PERLIS GSA FC” serta “EST 2016” yang merupakan nama dan tahun penubuhannya diletakkan di bahagian hadapan bawah perisai, menutupi kaki singa yang mengaum itu.

“Kami percaya perubahan ini bukan sekadar pada rupa, tetapi satu langkah besar dalam misi kami membina kelab yang lebih kukuh, lebih bersedia dan lebih dihormati di pentas bola sepak tanah air.” tulis kenyataan oleh pihak kelab.

Perubahan nama dan logo ini hadir kira-kira sebulan sebelum bermulanya saingan Liga A1 Semi-Pro anjuran Amateur Football League (AFL) – saingan yang akan disertainya selepas mara ke perlawanan akhir juara Liga A2 Piala Al-Ikhsan 2024 dan muncul juara.

Featured Image: Amateur Football League

Komen