Badrul Afzan Tandatangan Kontrak Semusim Bersama Terengganu FC – Buru Slot ASEAN & Asia
Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung, Terengganu FC nampaknya kekal menggunakan khidmat Badrul Afzan Razali sebagai ketua jurulatihnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2025-2026.
Perkembangan itu hadir susulan Terengganu FC mengesahkan Badrul menandatangani kontrak selama semusim sebagai ketua jurulatih menerusi satu kenyataan yang dikongsiikannya pada Ahad.
“Terengganu Football Club hari ini secara rasminya mengumumkan Badrul Afzan Bin Razali sebagai Ketua Jurulatih pasukan Terengganu FC bagi musim 2025/2026. Badrul Afzan menandatangani kontrak sebagai peneraju pasukan bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Mei 2026.” tulis kenyataan itu.
“Keputusan untuk melantik Badrul Afzan ini telah pun dimuktamadkan oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dengan mengambil kira pelbagai aspek penting untuk memastikan kelab ini mampu bergerak lebih positif bagi menghadapi musim baru saingan Liga Malaysia.” tambah kenyataan itu lagi.
Pada awal Oktober lalu, Badrul dipilih menggantikan Tomislav Steinbruckner bagi membimbing Terengganu FC menghabiskan saingan musim 2024-2025. Di bawah kendaliannya, Terengganu FC berhasil mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan berada di tangga kelima Liga Super.
Musim ini yang akan bermula Ogos nanti, Badrul meletakkan sasaran untuk membawa Terengganu FC berada di kedudukan lebih baik berbanding musim lalu selain berusaha untuk memburu slot ke kejohananan ASEAN dan asi pada musim hadapan.
Dimaklumkan, Terengganu FC menjangkakan akan memulakan latihan rasmi pada 1hb Julai kelak disertai kesemua pemain termasuk pemain import.
Featured Image: Terengganu FC