JDT Ikat Penyerang Baharu Kelahiran Brazil Usia 33 Tahun

June 16, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Gergasi bola sepak tanah air nampaknya menampilkan penggempur baharu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia, Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee serta Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) musim 2025-2026.

Menerusi satu video berdurasi 54 saat yang dimuat naik pada Ahad, kelab berjulukan Harimau Selatan itu mengucapkan selamat datang kepada Jairo da Silva atau nama penuhnya, Jairo de Macedo da Silva.

Jairo merupakan pemain yang berasal dari Rio de Janeiro, Brazil dan kini berusia 33 tahun. Beliau tiba di Iskandari Puteri selepas tamat kontraknya bersama Pafos FC yang beraksi dalam kancah Liga Cyprus pada penghujung Mei lalu.

Selama empat tahun beraksi di situ, Jairo berhasil meledak 59 gol disamping mencetak 27 bantuan gol daripada 163 penampilan.

Pada musim lalu, ledakan 10 golnya diiringi dengan lima bantuan gol membantu Pafos FC menempa sejarah dengan meraih kejuaraan sulung liga dalam sejarah penubuhannya.

Pengalaman bola sepak Jairo tampak meluas dimana beliau turut berkelana di beberapa negara eropah sebelum menyertai kancah bola sepak di negara kepulauan Laut Mediterranean terbabit. 

Antara kelab di eropah yang pernah disertai Jairo ialah Hadjuk Split (Croatia), PAOK (Greece), FC Sheriff (Moldova), PAS Giannina (Greece) dan AS Trencin (Slovakia). 

Sebelum melebarkan sayap ke benua eropah, Jairo Botafogo dan Madureira (Brazil) – permulaan karier bola sepaknya.

Menerusi video pengenalan itu juga, Jairo didedahkan diberikan jersi bernombor 11 untuk disarungnya bersama JDT.

Untuk makluman, Jairo menjadi pemain import baharu kedua menyertai JDT selepas kemasukan pertahanan berusia 29 tahun kelahiran Sepanyol, Antonio Glauder.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd