AFL Tambah 4 Pasukan Lagi Warnai Liga A1 Semi-Pro 2025-2026
Hafiz Omar

Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perlis Guar Syed Alwi (Perlis GSA FC), FC Seoul Phoenix dari Republik Korea dan UM-Damansara United sah mewarnai kancah Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.
Pengerusi Amateur Football League (AFL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi tampil mengesahkan penyertaan tiga pasukan berkenaan sambil menjelaskan ketiga-tiganya diberikan kelulusan bersyarat sebelum ini dan perlu melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen mengikut tempoh yang diberikan.
“Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Perlis Guar Syed Alwi (Perlis GSA FC) dan FC Seoul Phoenix kini telah disahkan penyertaaan mereka di Liga A1 Semi-Pro 2025-2026,” katanya.
Sementara itu, AFL juga telah mengesahkan kemasukan UM-Damansara United yang sebelum ini diletakkan dalam senarai menunggu bersama Ipoh City FC.
“Setelah melalui proses semakan dokumen dan kriteria ditetapkan sama seperti pasukan-pasukan yang lain, UM- Damansara United juga turut disahkan penyertaan bagi melengkapkan jumlah 16 pasukan menyertai Liga A1 Semi Pro 2025-2026.
“Bagi Ipoh City FC pula, pasukan berkenaan telah mengambil keputusan untuk menarik diri menyertai saingan,” jelasnya menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan oleh penganjur, pada hari ini.
Pada 5hb Jun 2025 lalu, Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL telah memaklumkan 12 pasukan yang berjaya mengesahkan penyertaan bagi musim 2025-2026.
Pasukan-pasukan berkenaan adalah Armed Forces FC, Manjung City FC, Imigresen FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC II, Kelantan WTS FC dan Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA).
Senarai itu diikuti dengan Machan FC, Kelantan Red Warriors FC, Bunga Raya FC, Malaysian University dan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).