Liga A1: Kedah Darul Aman FC Tak Kejar Kejayaan Segera

June 17, 2025
Bola Sepak

Hafiz Omar

Kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak meletakkan sasaran untuk bergelar juara dengan kadar segera dalam divisyen kedua bola sepak tanah air.

Pada Isnin, penganjur, Amateur Football League (AFC) mengesahkan penyertaan KDA FC dalam kancah Liga A1 Semi-Pro musim 2025-2026 selepas melengkapkan beberapa kriteria serta dokumen dalam tempoh yang diberikan.

Menerusi satu kenyataan, Sang Kenari memaklumkan meletakkan keutamaan dalam kempen sulungnya di Liga A1 untuk membina asas yang kukuh bagi memastikan kelab dapat bergerak lebih stabil dan mampa untuk jangka panjang.

Pada masa yang sama, sokongan daripada segenap segi oleh para penyokong turut dipohon oleh KDA FC. 

“Pada saat getir ini, KDA FC amat mendambakan sokongan padu, ikhlas dan tanpa berbelah bahagi daripada seluruh penyokong Sang Kenari.”

“Inilah masanya kita bersatu hati, berdiri teguh di belakang kelab tercinta dan menjadi nadi kekuatan sebenar dalam perjalanan kebangkitan ini.”

“Dengan kasih dan semangat anda semua, KDA FC yakin mampu mengangkat semula maruah bola sepak negeri Kedah yang kita cintai bersama.” tulis kenyataan terbabit.

Difahamkan, mereka akan mendedahkan ketua jurulatih serta barisan pemainnya sebelum bermulanya saingan Liga A1 pada penghujung Julai kelak.

Untuk makluman, KDA FC yang dimiliki secara majoritinya oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar terpaksa melupakan saingan Liga Super susulan gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan daripada First Instance Body (FIB).

Alasan yang diberikan adalah KDA FC tidak memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan dalam Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2024-2025.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd